Saudi Gazatte melaporkan, Menteri Haji dan Umrah, Dr. Muhammad Saleh Benten mera­kamkan penghargaannya kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Muhammad bin Salman kerana mengeluarkan dekri diraja penstrukturan semula visa lawatan dan haji.

Dekri itu termasuk pembatalan caj umrah ulangan.

Katanya, keputusan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan bagi memudah cara kedatangan Muslim dari seluruh dunia dalam menunaikan haji dan umrah.

“Keputusan itu menyokong usaha mencapai satu daripada matlamat utama Visi 2030 Arab Saudi untuk menerima 30 juta jemaah umrah pada 2030,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Jabatan Awam Projek-Projek yang mewakili Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci telah menyiapkan kerja penyelenggaraan berkala Kaabah selari de­ngan arahan Raja Salman.

Teknologi terkini digunakan untuk penyelenggaraan itu mengikut kepakaran dan spesifikasi antarabangsa terbaik.

Rutin penyelenggaraan itu termasuk pada dinding batu dan bucu pada sebahagian tempat menggunakan material khusus dan berkualiti tinggi.

Gelungan Kaabah yang menampung Kiswah juga dibaiki sebelum kelambu itu diturun­kan pada penamat musim haji.

Bahagian bawah Kiswah dinaikkan tiga meter pada permulaan musim haji setiap tahun bagi melindunginya. – AGENSI