RT News melaporkan, Rahim Kuriev, 6, mencatatkan rekod pertama dengan mela­kukan sebanyak 4,183 tekan tubi bagi cabaran ‘tekan tubi terbanyak dalam dua jam’, satu rekod dunia bagi kanak-kanak berusia enam tahun.

Tidak cukup dengan itu, anak muda terbabit menerus lagi 4,618 tekan tubi sekali gus mencipta rekod kanak-kanak enam tahun dengan catatan tekan tubi tertinggi secara berterusan.

Rahim melengkapkan ca­baran itu di bawah pemantauan Ketua Pengarang Russia Book of Record, Stanislav Konenko yang menyampaikan sendiri dua sijil ‘rekod dunia’ kepada kanak-kanak berkenaan.

Rahim mengatasi peme­gang rekod terdahulu, Ibrahim Lyanov, 6, yang melakukan 3,720 tekan tubi dalam tempoh dua jam, Jun lalu.

Kanak-kanak itu juga mengecap status selebriti apabila mempunyai sebanyak 12,000 pengikut Instagram dan kerap memuat naik hantaran mengenai penyertaannya dalam gusti, sesi latihan tinju, seni bela diri dan latihan angkat berat.

Sementara itu, Pemimpin Republik Chechnya, Ramzan Kadyrov dalam akaun Instagram miliknya memuji pencapaian Rahim selepas mencipta dua rekod dunia baharu.

“Bukan itu saja, dia kini memegang rekod dunia bagi berenang dan pelbagai pencapaian lain yang membanggakan. Saya yakin, dia akan terus mencatatkan rekod baharu,” katanya. – AGENSI