Enam pemimpin Arab terkemuka ketika itu mengambil gambar berkumpulan dan selepas sembilan tahun, foto berkenaan kembali muncul di media sosial.

Bezanya foto pemimpin Arab tersebut yang terdiri daripada pemimpin Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali; Ali Abdullah Saleh (Yemen); Muammar Gaddafi (Libya); Hosni Mubarak (Mesir); Abdelaziz Bouteflika (Algeria) dan pemimpin Sudan, Omar al-Bashir ditanda dengan simbol pangkah.

Menurut Hafed al-Ghwell, Felo Kanan (bukan residen) di Institut Dasar Luar John Hopkins University dalam tulisannya bertajuk If the Arab Spring proved anything, it is change is a lot easier than stability yang disi­arkan Arab News, beberapa bulan selepas gambar itu diambil, tercetus pembe­rontakan dikenali sebagai Arab Spring.

Empat daripada enam pe­mimpin di­gulingkan dalam tempoh setahun selepas sidang kemuncak tersebut.

Dua lagi pemimpin iaitu Abdelaziz dan Omar turut digu­lingkan bulan ini selepas berlakunya protes, namun walaupun rakyat Sudan dan Algeria meraikan kejatuhan pemim­pin tersebut, kebimbangan yang meluas masih berlaku.

Hafed menulis, rantau Afrika Utara dan Asia Barat tidak begitu baik apabila melibatkan soal revolusi, malah selepas Arab Spring pada 2011 yang memberi inspirasi pemberontakan di beberapa negara Arab lain, hanya Tunisia dilihat berubah.

Libya, Syria dan Yemen terjerumus ke dalam perang saudara manakala Parlimen Mesir baru-baru ini mengundi untuk memberi peluang kepada Presiden Abdel Fattah El-Sisi berkhidmat selama satu dekad lagi, menjadikannya ‘Mubarak II’.

Berbeza dengan Libya, kemungkinan besar keadaan tegang di negara tersebut akan berterusan memandangkan ramai kumpulan bersenjata masih lagi aktif.

Penduduk awam terperangkap dalam konflik kepentingan, ketiadaan undang-undang, proses ‘perdamaian atau peralihan’ Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lemah dan sokongan tentera asing tidak terkawal selain unsur-unsur pengganas yang menunggu peluang untuk memperluaskan pengaruhnya.

Walaupun berlaku selepas lapan tahun, jika Sudan dan Algeria berjaya melakukan peralihan dengan stabil dan membentuk kerajaan demokratik diketuai oleh penduduk awam, kedua-dua negara akan menyer­tai Tunisia sebagai ‘satu kisah kejayaan’ Arab Spring.