Portal Metro.co.uk melapor­kan, sebanyak 450 pengguna vape AS jatuh sakit dengan me­ngalami masalah pernafasan serius ketika kebimbangan akibat keselamatan rokok elektronik meningkat.

Pegawai perubatan CDC, Dr. Dana Meaney-Delman berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai tidak menghisap vape sehingga mereka mengetahui punca yang mengakibatkan masalah paru-paru itu.

“Ketika siasatan masih dijalankan, CDC menasihatkan individu mempertimbangkan tidak menggunakan rokok elek­tronik itu kerana setakat ini tujuan utamanya adalah untuk mengelak penyakit paru-paru bertambah teruk.

Kesemua 450 remaja dan orang dewasa yang mengalami masalah pernafasan itu menga­du mereka menghisap vape sebelum ini dan kebanyakannya menggunakan produk me­ngandungi Tetra Hydrocannibol (THC), sebatian yang sinonim dengan ganja.

Bagaimanapun kata Meaney-Delman, ada di antara pesakit menggunakan campuran nikotin dan THC manakala selebihnya hanya menggunakan nikotin sahaja.

“Setakat ini, tiada tiada peranti khas atau kimia dikaitkan dengan wabak itu namun pakar tertumpu kepada produk kanabis rokok elektronik di pasaran gelap yang mengan­dungi minyak vitamin E,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan New York mendedahkan, keputusan ujian makmal mendapati kewujudan kandungan mi­nyak vitamin E yang tinggi dalam kart­rij kanabis digunakan oleh kesemua 34 orang pesakit di negeri berkenaan.

Asetat vitamin E lazimnya dimakan sebagai makanan tambahan kesihatan atau disapu pada kulit tetapi berbahaya apabila dihidu.

Pakar paru-paru dari Hospital Lenox Hill, New York, Dr. Len Horovitz memberitahu, minyak vitamin E tidak sepatutnya dipanaskan dan dihirup masuk ke dalam badan manusia kerana ia adalah minyak.

“Paru-paru tidak mahukan minyak panas dan bertindak balas terhadapnya (minyak panas),” katanya. – AGENSI