Lelaki tersebut merupakan pemandu bas berkenaan dan dia melakukan tindakan itu sebagai tanda protes terhadap dasar imigran di negara ini.

Kejadian bermula ketika kanak-kanak sekolah ber­kenaan dibawa dari sekolah di Vailati di Crema ke sebuah gim tetapi dibawa ke laluan lain menuju ke Lapangan Terbang Linate dekat sini.

Ketika suspek mula me­ngancam penumpang dengan pisau dan bertindak ‘merampas bas berkenaan’, salah seorang kanak-kanak menghubungi keluarganya yang kemudiannya membuat aduan polis.

‘Drama tebusan’ itu berlangsung agak lama sebelum polis berjaya memintas bas tersebut sebelum kenderaan itu merempuh kereta peronda polis.

Lapor Mail Online yang memetik Sky TG24, kesemua kanak-kanak termasuk guru berjaya diselamatkan melalui cermin belakang yang dipe­cahkan pihak polis.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun 12 kanak-kanak mengalami sesak nafas dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pemandu bas berusia 47 tahun yang mendapat kewarganegaraan Itali pada 2004 itu bagaimanapun berjaya diberkas polis.

Pegawai telah memecahkan kaca di pintu belakang bas dan menyelamatkan semua penumpang tanpa kecederaan serius sebelum api memusnahkan kenderaan, kata pihak berkuasa.

Salah orang murid memberitahu, lelaki itu merampas telefon pintar kesemua mang­sa, mengikat tangan selain mengugut untuk membakar mereka dengan menuang petrol sambil menyebut ‘tiada seorangpun akan terselamat hari ini’.