Banjir kilat yang dianggap antara terburuk di Arab Saudi mengakibatkan sebanyak 12 orang maut ketika separuh daripada 271 mangsa yang dise­lamatkan adalah penduduk di Tabuk sahaja.

Saudi Gazette melaporkan, seorang bapa dan empat anak­nya lemas setelah kereta dinaiki mereka dihanyutkan air banjir yang naik secara mendadak di Lembah Al-Bakkar ekoran hujan lebat, sejak dua hari lalu.

Isteri lelaki itu dan dua lagi anaknya bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh seorang penduduk, Majed Al-Temawi.

Majed memberitahu, dia berjaya menyelamatkan kesemua mangsa setelah mendekati kereta mangsa yang dihanyutkan arus deras banjir.

Seorang lagi anak kepada lelaki yang maut itu berjaya di­selamatkan anggota pertahanan awam.

Dalam perkembangan berasi­ngan, Arab Saudi menamatkan kempen antirasuah besar-besaran yang dilancarkan pada 2017 selepas berjaya membawa 200 pesalah melibatkan kerabat diraja, hartawan, menteri dan usahawan ke muka pengadilan.

Jurucakap kerajaan berkata, aset bernilai AS$100 bilion (RM408 bilion) merangkumi harta benda dan wang berjaya dirampas sepanjang kempen yang dilancarkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman.

Katanya, sebanyak 87 kes berjaya diselesaikan apabila individu terlibat mengaku bersalah di atas pertuduhan terhadap mereka ketika lapan kes lagi dirujuk kepada pendakwa raya. – AGENSI