Lapor Press TV, Perdana Men­teri Israel, Benjamin Netanyahu telah meminta pendakwa raya, Avichai Mendelblit untuk menguruskan pembinaan unit penempatan haram baharu di Tebing Barat.

BENJAMIN NETANYAHU
BENJAMIN NETANYAHU 

Sebanyak 82 unit bakal dibina di penempatan Ofra, serta dua lagi di zon industri berdekatan penempatan Avnei Hefetz dan Betar Ilit.

Keputusan itu diambil selepas penunjuk perasaan berhimpun di luar kediaman Netan­yahu sambil mengkritik­nya kerana tidak menunaikan janji berhubung isu keselamatan selepas dua tentera Israel ditembak mati dan dua lagi ce­dera di bandar Ramallah.

“Hari ini, kita berdepan serangan buruk di mana dua anggota tentera terbunuh. Kita akan memastikan mereka yang terlibat, bertanggungjawab sepenuhnya.

“Prinsip kami ialah sesiapa yang menyerang dan cuba menyerang kami, akan membayar dengan nyawanya. Musuh kami tahu tentang ini dan kami akan mencari mereka,” kata Netanyahu.

Kira-kira 500,000 rakyat Israel tinggal di Tebing Barat dan Baitulmuqqadis Timur, kawasan yang juga menjadi tempat tinggal kepada lebih 2.6 juta penduduk Palestin.

Netanyahu juga mengarahkan lebih banyak rumah penduduk Palestin dibakar di Tebing Barat dalam tempoh dua hari akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya 40 orang penduduk Pa­lestin ditahan oleh rejim Zionis di Tebing Barat, termasuk penyokong pergerakan Hamas dan dua ahli Parlimen.

Lapor al-Jazeera, penahanan itu dibuat selepas empat penduduk Palestin dibunuh oleh rejim terbabit dalam dua operasi berasingan di Ramallah.

Dalam perkembangan berlainan, Australia memberi amaran kepada rakyatnya agar sentiasa berhati-hati ketika melancong ke Indonesia berikutan langkah negara berkenaan yang mahu mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dijangka mengumumkan langkah tersebut esok.

“Demonstrasi telah dijalankan sejak beberapa minggu lalu di sekitar Kedutaan Australia di Jakarta dan bangunan Konsulat Jeneral Australia di Surabaya.

“Protes mungkin berterusan di bangunan kedutaan di Jakarta atau mana-mana Konsulat Jeneral di Surabaya, Bali dan Makassar,” kata Jabatan Hal Ehwal Luar Australia menerusi notis awam dikeluarkan hari ini.

Kerajaan Indonesia sebelum ini meluahkan rasa marah apabila Morrison mencetuskan idea untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis dan memindahkan kedutaan Australia ke wilayah terbabit. – AGENSI/AFP/REUTERS