Lapor al-Jazeera, rakaman itu yang diperoleh oleh pasukan perisikan Turki dan didedahkan kepada umum semalam, memperincikan perbualan antara Jamal dan 15 ejen Riyadh sebelum dia dibunuh pada 2 Oktober tahun lalu.

"Sila duduk. Kami perlu membawa awak balik ke Riyadh.

"Ini adalah arahan daripada Interpol. Interpol menuntut awak untuk balik. Kami di sini untuk membawa awak pulang," kata pegawai perisikan kanan dan pengawal kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman iaitu Maher Abdulaziz Mutreb.

Jamal membalas:"Tiada pendakwaan terhadap saya. Tunang saya menunggu di luar."

Dalam tempoh 10 minit sebelum dia dibunuh, Maher menyuruh Jamal meninggalkan mesej untuk anaknya agar tidak perlu bimbang sekiranya wartawan itu gagal dihubungi.

Bagaimanapun Jamal enggan mengikuti arahan itu.

"Tulis, Jamal. Cepat. Bantu kami supaya kami boleh membantu awak, kerana pada akhirnya, kami akan membawa awak pulang ke Arab Saudi dan sekiranya awak tidak membantu kami, awak tahu apa akan berlaku," ujar Maher lagi.

Kemudiannya, ejen Arab Saudi memberi dadah kepada Jamal.

Ayat terakhir Jamal sebelum dia tidak sedarkan diri adalah: "Saya mempunyai asma. Jangan lakukannya, awak akan membuat saya sesak nafas."

Bunyi autopsi daripada rakaman itu menunjukkan badan Jamal dibelah dan prosedur itu berjalan selama 30 minit.

Namun mayatnya sehingga kini masih belum dijumpai. - AGENSI