Lapor RT News yang memetik Washington Post, Trump meluluskan sera­ngan siber terhadap Pengawal Revolusi Iran meskipun sera­ngan dibuat selepas Teheran menembak jatuh dron AS.

Menurut sumber yang mengetahui tentang sera­ngan itu, operasi terbabit telah dirancang sejak beberapa bulan lalu.

DONALD TRUMP
DONALD TRUMP 

Serangan itu dijalankan Pemerintah Siber AS dengan koordinasi Pemerintah Pusat yang bertanggungjawab terhadap aktiviti ketenteraan di Asia Barat.

Presiden Donald Trump sebelum ini menghentikan tindakan ketenteraan hanya pada saat akhir kerana res­pons tidak setimpal dengan kemusnahan dron AS di Selat Hormuz.

Sementara itu, Trump menyatakan AS akan me­ngenakan sekatan baharu le­bih besar terhadap Iran esok.

Bagaimanapun, tindakan ketenteraan masih menjadi antara pilihan Amerika termasuk ancaman sekatan.

“Kami sedang meletakkan sekatan tambahan lebih besar ke atas Iran Isnin,” ciap Trump.

Trump dilapor menetapkan jadual untuk langkah ekonomi punitif bagi memberi lebih tekanan kepada Iran yang telah terkesan daripada sekatan sejak Presiden itu menarik diri daripada perjanjian nuklear antarabangsa dengan Teheran.

Dalam pada itu, Trump mendakwa, beliau akan menjadi ‘rakan baik’ Iran ketika Teheran boleh menjadi ‘kaya’ jika negara itu menghapuskan senjata nuklear milik mereka. – AGENSI