Al-Jazeera melaporkan, Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir berkata, cadangan menghantar pasukan tentera negara ini ke Sy­ria bukan baharu dan Riyadh pernah mengemukakan­nya kepada Barack Obama sewaktu beliau menjadi Presiden AS.

“Perbincangan sedang diada­kan ketika era pentadbiran Oba­ma, kami mengemukakan cadangan bahawa kami akan me­nimbang untuk menghantar pasukan tentera ke Syria jika AS berbuat demikian,” katanya.

Pada 2016, Arab Saudi telah mengumumkan kesediaannya menempatkan tentera di Iraq dan Syria untuk membendung kegiatan kumpulan Daesh.

Berita tentang kesediaan diumumkan sehari selepas Wall Street Journal melaporkan Pre­siden AS, Donald Trump sedang berusaha mendapatkan kerjasama negara-negara Arab terma­suk Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menempatkan pasukan tentera di Syria bagi menggantikan tentera AS.

Laporan itu juga menyebut Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, John Bolton berharap Mesir juga akan menyertainya bagi menstabilkan keadaan di bahagian timur laut Syria.

Sementara itu, koresponden Al-Jazeera di Washington, Patyy Culhane melaporkan bahawa pentadbiran Trump mengambil langkah ‘sangat berhati-hati’ terhadap cadangan yang dikemukakan oleh Arab Saudi berhubung menempatkan tenteranya di Syria.

“Terdapat kebimbangan besar dalam kalangan barisan kepe­mimpinan tentera AS berhubung kemampuan tentera Arab Saudi dan sebagai contoh, dalam perang di Yemen, pasukan tentera AS telah membantu tentera negara ini dari segi perisikan dan pembekalan minyak.

“Peperangan itu menyaksikan bencana kemanusiaan, bilangan sekolah dan hospital yang musnah, sekali gus meningkatkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan aktivis hak asasi manusia,” ujarnya.

Selain itu, Culhane turut mencetuskan satu lagi persoalan mengenai apa akan berlaku terhadap pasukan tentera AS di Syria dan sama ada mereka akan meneruskan operasi di negara berkenaan.

Menurut Pentagon, dianggarkan kira-kira 2,000 anggota tentera AS ditempatkan di seluruh Syria.