Channel News Asia melapor­kan, Mohammed menegaskan bahawa kes pembunuhan Jamal di Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki tidak akan menjejaskan usaha reformasi di negara ini.

“Kami akan buktikan kepada dunia Arab Saudi dan Turki saling bekerjasama untuk mencari mana-mana pihak yang bertanggungjawab serta menghukum mereka atas perbuatan yang dilakukan,” katanya ketika berucap dalam persidangan Inisiatif Pelaburan Masa Depan (FII) di sini.

Beliau membuat kenyataan tersebut beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan bahawa Mohammed bertanggungjawab dalam operasi yang menyebabkan kematian Jamal.

Arab Saudi menerima tamparan hebat sejak kes kematian Jamal yang merupakan ko­lumnis akhbar Washington Post menjadi tajuk berita utama dunia.

Insiden itu juga mengeruhkan hubungan negara ini dengan Barat, selain menyebabkan puluhan ahli politik, pegawai bank terkemuka dunia dan eksekutif syarikat memboikot persida­ngan FII yang bermula di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menerusi perbualan telefon memberitahu Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud semalam bahawa Paris bersedia untuk mengenakan tindakan terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab dalam kes kematian Jamal.

Arab Saudi sebelum ini menafikan sebarang penglibatan dalam kehilangan Jamal, namun Riyadh akhirnya membuat pendedahan wartawan tersebut sudah meninggal dunia pada 2 Oktober lalu.

Britain yang merupakan pembekal utama senjata kepada Arab Saudi menyifatkan penjelasan Riyadh mengenai kematian Jamal tidak kukuh dengan Perdana Menterinya, Theresa May menegaskan, kerajaan Britain akan menghalang semua suspek pembunuh Jamal daripada memasuki negara itu.

Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Gina Haspel yang berlepas ke Turki pada Isnin lalu turut dilaporkan mende­ngar rakaman audio soal siasat dan pembunuhan Jamal, namun pihak CIA dan kerajaan Turki enggan memberi sebarang kenya­taan berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menga­dakan perbincangan de­ngan Mohammed mengenai langkah yang perlu dilakukan untuk menjernihkan semula keadaan namun seorang daripada penasihat beliau memaklumkan, ‘terdapat kesan darah pada tangan putera tersebut’.