Jurucakap Tentera Bahagian ke-4, Kolonel Thanavi Suwannarat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, lelaki berusia 37 tahun dari Kampung Long Khuan, Sebayoi, Wilayah Songkhla ditembak mati di sebuah ladang getah di Kampung Bakong.

Insiden tembak menembak berlaku selama kira-kira 10 minit. Walaupun diminta menyerah diri, namun lelaki itu enggan dan bertindak cuba melarikan diri dengan melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan.

"Kami juga menemukan sepucuk pistol di sisi mangsa. Dalam kejadian itu, seorang anggota polis turut mengalami kecederaan," katanya.

Anggota kumpulan bersenjata yang maut itu adalah suspek yang dikehendaki polis kerana pernah terlibat dalam insiden pengeboman balai polis di Hatyai dan samun kenderaan pada 2014 dan 2015.

Sementara itu di Narathiwat, Ketua Kompeni Renjer ke-45, Kolonel Issara Jantakrayom berkata, satu insiden berbalas tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata di Kampung Repah, Dusun Nyur, Narathiwat hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 8 pagi (waktu tempatan), kumpulan enam lelaki yang bersenjata melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan. Selepas kira-kira 10 minit berbalas tembakan, kumpulan itu berjaya meloloskan diri.

"Pasukan keselamatan sedang menjejaki anggota kumpulan itu dan kami percaya ada antara mereka mengalami kecederaan," katanya.

Beliau menambah bahawa pasukan keselamatan menemui beg yang mengandungi makanan kering, pakaian dan ubat-ubatan. - BERNAMA