Guru agama di SDN Desa Anggaraksa, mukim Pringgabaya, Lombok Timur, Kasmi berkata, ibu kepada murid tersebut, Endang Srihartuti datang ke sekolah selepas anaknya memaklumkan kejadian dia didenda berdiri sambil sebelah tangannya diangkat atau strap oleh cikgu berkenaan.

Katanya yang dipetik oleh portal Kompas, dia mengenakan denda itu selepas seorang murid tahun lima menangis mendakwa dipukul anak kepada anggota DPRD.

“Pada pandangan saya, hukuman itu masih dalam batasan dan tindakan saya itu hanya untuk mendisiplinkan pelajar berkenaan,” katanya, hari ini.

Menurut Kasmi, apabila pelajar itu mengadukan yang dia dikenakan hukuman, lantas ibu pelajar itu datang menyerangnya di sekolah tanpa soal siasat.

“Ibu pelajar itu jadi marah sambil menyebut saya anjing lalu memukul saya dan terkena bahagian pelipis,” katanya.

Kata Kasmi, dia hanya mendiamkan diri dan seorang guru cuba meleraikan kejadian dan meminta menyelesaikan isu itu di bilik pengetua namun tidak diendahkannya.

Menurutnya, wanita itu turut menggesa pengetua sekolah terbabit untuk memecatnya namun permintaan tersebut tidak dihiraukan.

Sementara itu, anggota DPRD, Mahrus ketika ditemui dilihat mempertahankan tindakan isterinya menyerang guru berkenaan dan menyifatkan kenakalan kanak-kanak sebagai perkara biasa.

“Ya betul, isteri saya marah melihat keadaan anak saya yang lebam. Tapi saya tidak pasti jika dia memukul guru tersebut,” katanya. – AGENSI