CNN yang memetik jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kang sebagai berkata, White House telah membawa kemusnahan yang besar kepada ekonomi dunia termasuk AS sendiri.

Lu Kang berpendapat, dasar perdagangan AS lebih mencerminkan ‘keganasan ekonomi yang tipikal, hegemoni dan unilateral’.

Kenyataan itu susulan laporan akhbar The People’s Daily milik parti pemerintah, Parti Komunis yang memberi amaran bahawa Beijing bersiap sedia untuk menggunakan elemen nadir bumi sebagai senjata sokongan dalam perang dagang berdepan AS.

Dengan nada yang ekstrem, China menyatakan ‘jangan katakan kami tidak memberi amaran’.

Selain itu China menegaskan supaya AS tidak memandang rendah keupayaan mereka untuk bertindak balas.

Amaran tersebut muncul susulan Global Times melaporkan China sedang mempertimbangkan untuk mengetatkan eksport logam bumi, yang pen­ting kepada industri pembuatan teknologi tinggi ke AS.

Pada 15 Mei lalu, Trump mengeluarkan perintah kecemasan kepada semua syarikat di negara itu sebagai menghalang penggunaan peralatan telekomunikasi asing berikutan ancaman keselamatan.

Dalam perintah yang ditandatangani oleh Trump itu menyebut, penggunaan peralatan telekomunikasi asing dilihat mengundang risiko keselamatan kepada AS.