Ketika pentadbiran Presiden Donald Trump bersiap sedia membentangkan pelan damai Palestin-Israel yang sudah lama dijanjikan, keadaan menjadi bertambah buruk.

Mengabaikan kemarahan penduduk dunia, AS bertindak merasmikan kedutaannya di Baitulmuqaddis dengan penuh ‘keangkuhan’ pada 14 Mei tahun lalu, sebagai satu cara mengiktiraf wilayah terbabit sebagai ibu kota Israel, seakan-akan ‘barang dagangan’ antara kedua-dua sekutu itu.

Lapor Arab News, bagi Israel, proses itu merupakan ‘pengiktirafan’ bersejarah terhadap hubungan selama 3,000 tahun antara orang Yahudi dan Baitulmuqaddis manakala bagi rakyat Palestin, yang sudah melihat Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota negara mereka pada masa akan datang, tidak berpuas hati dengan langkah Trump.

Status Baitulmuqaddis se­ring menjadi pertikaian sejak pencerobohan Israel pada 1948.

Israel kemudiannya merampas tanah milik rakyat Palestin di Baitulmuqaddis Timur ketika Perang Enam Hari pada 1967, satu tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh komuniti antarabangsa.

PAGAR SEMPADAN BERDARAH

Pada Mac tahun lalu, rakyat Palestin di Semenanjung Gaza melancarkan ‘Great March of Return’ untuk menuntut tanah mereka yang dirampas atau diusir oleh rejim Zionis ketika 1948 dengan konflik Palestin-Israel dilihat sukar diselesaikan dan tidak melalui sebarang proses diplomatik sejak 2014.

Trump memasuki White House dengan janji untuk menjadi Presiden AS paling pro-Israel dalam sejarah negara itu dan pentadbirannya turut me­ningkatkan sokongan terhadap Israel.

Pagar sempadan sejak itu se­ring menjadi pertempuran berdarah setiap minggu antara Palestin-Israel, sekurang-kurangnya 62 orang rakyat Palestin ditembak mati ketika berlakunya pertempuran pada hari perasmian pemindahan bangunan kedutaan AS ke Baitulmuqaddis.

Hamas enggan menerima kewujudan Israel dan telah berperang dengan Israel sebanyak tiga kali sejak 2008, manakala rejim Zionis terus melaksanakan sekatan di Gaza, menjalankan pencerobohan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur serta memperluaskan penempatan haram.

Baru-baru ini, ke­dua-dua pihak semakin hampir kepada konfrontasi besar-besaran dengan 300 orang rakyat Palestin terbunuh dalam pertempuran sekitar Gaza sejak Mac tahun lalu.

PAPAN tanda penempatan haram baharu Israel di Bukit Golan. - AFP
PAPAN tanda penempatan haram baharu Israel di Bukit Golan. - AFP

AS SOKONG PENCEROBOHAN?

Ahmed Majdalani, penasihat kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, rak­yat Palestin mengalami ‘tempoh paling teruk’ dari segi hubungan dengan AS.

Tindakan AS di Baitulmuqaddis memberi kesan besar dan pentadbiran Trump me­ngubah ‘status perantara’ kepada ‘penyokong pencerobohan Israel’.

Penganalisis di Majlis untuk Perhubungan Luar Negara Eropah, Hugh Lovatt berkata, tindakan AS di Baitulmuqaddis ‘mungkin baik dari segi politik domestik tetapi memberikan kesan negatif kepada pelan damai’.

Jabatan Negara AS meng­ulangi pendirian berhubung pemindahan bangunan kedutaan ke Baitulmuqaddis adalah pengiktirafan berbentuk realiti bahawa wilayah itu me­rupakan ibu kota Israel.

LAGI PREMIS PALESTIN DIROBOHKAN

Dalam pada itu, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan rejim Zionis merobohkan sekurang-kurangnya 41 bangunan milik rakyat Palestin di Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat sejak dua minggu lalu.

Menurut Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), tindakan berkenaan dilakukan dengan alasan pembinaan bangunan itu dibuat tanpa ‘permit sah’.

Rejim Zionis juga bertindak menyerbu pekarangan Masjid al-Aqsa untuk mengusir umat Islam.

Lapor agensi berita Ma’an, tentera Israel dan polis menyerbu al-Aqsa setengah jam selepas tamat solat tarawih dan mengusir 50 jemaah yang berada di situ selain mengancam mengenakan larangan terhadap mereka daripada memasuki al-Aqsa untuk tempoh jangka masa panjang.

NAMA TRUMP DI GOLAN

Dalam perkembangan berlainan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menamakan sebuah tapak di Bukit Golan sempena nama Trump selepas Presiden AS itu mengiktiraf kawasan tersebut sebagai jajahan rejim Zionis.

“Kami sudah memilih sebuah tapak di Bukit Golan di mana penempatan baharu akan dibina dan kami telah memulakan proses itu,” jelas Netanyahu seperti dipetik oleh Press TV.