Namun, pemangku Penolong Ketua Pengarah WHO, Keiji Fukuda semalam, turut memberi amaran mengenai perkembangan di hemisfera selatan menjelang musim sejuk yang lazimnya membawa banyak kes selesema.

WHO meningkatkan amaran berjaga-jaga terhadap pandemik di seluruh dunia daripada fasa empat kepada lima kelmarin, menandakan dunia di ambang pandemik.

"Hari ini kami berpegang pada penilaian itu dan kami tidak menemui sebarang bukti menunjukkan kami perlu melangkah ke fasa enam hari ini atau langkah sedemikian perlu diambil pada bila-bila masa sekarang," kata Fukuda.

Fasa enam akan menandakan seluruh dunia dilanda pandemik atau wabak besar-besaran.

Bagaimanapun, Fukuda menjelaskan, virus selesema babi yang ditukar namanya kepada influenza A (H1N1) oleh WHO semalam bertindak seperti virus influeza biasa.

Oleh itu, virus tersebut akan mendatangkan kesan lebih besar kepada negara yang akan menghadapi musim sejuk tidak lama lagi.

Mexico yang paling teruk dilanda wabak itu serta Amerika Syarikat (AS) dan negara lain di hemisfera utara kini berada pada musim bunga dan musim selesema biasa sudah sampai ke penghujungnya. - AFP