Putera raja yang dimaksudkan adalah Putera Sultan bin Salman, anak lelaki kepada Raja Arab Saudi ketika ini, yang sejak menyaksikan peristiwa itu di kaca televisyen, beliau berhasrat untuk mencipta sejarah yang sama satu hari nanti.

Putera Sultan sering menga­gumi pelajar ketenteraan yang mengenakan uniform segak dan secara tidak langsung membe­rinya inspirasi untuk menyertai pasukan tentera.

Namun, hasratnya tidak kesampaian apabila disahkan menghidap rheumatisme menyebabkannya tidak berupaya melakukan aktiviti fizikal selama beberapa tahun.

Tidak lama selepas itu, beliau semakin pulih dan melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi di Universiti Denver, Amerika Syarikat (AS) pada 1974 dan demi mencapai cita-cita bergelar juruterbang, beliau mengikuti kelas penerbangan ketika masa lapang.­

Putera Sultan memperoleh lesen juruterbang persendirian pada 1977 daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA).

PUTERA SULTAN BIN SALMAN menikmati makanan dalam tin ketika berada
PUTERA SULTAN BIN SALMAN menikmati makanan dalam tin ketika berada dalam
kapal angkasa lepas. – AGENSI 

Pada mulanya, beliau tidak berminat dengan bidang angkasa lepas, namun selepas Liga Arab melancarkan satelit pertama pada 1985 menerusi Arabsat dan kemudiannya satelit kedua pada tahun yang sama dengan kerjasama Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA), Arab Saudi dipilih untuk menghantar angkasawan pertama­nya.

Proses penca­rian calon angkasawan yang sesuai bermula dan mengambil masa selama beberapa bulan, selain dikhaskan untuk juruterbang yang mahir berbahasa Inggeris serta mempunyai fizikal yang baik.

Selepas merekodkan 1,000 jam masa penerbangan serta lulus ujian perubatan di Riyadh dan AS, Putera Sultan menjadi pilihan terbaik selain direstui keluarganya.

Putera Sultan dipilih sebagai calon angkasawan pertama pada usia 28 tahun dan diikuti oleh calon kedua iaitu pegawai tentera Arab Saudi, Mejar Abdulmohsen Hamad al-Bassam, 36. Ketika itu, Putera Sultan berkhidmat di Kementerian Sumber Maklumat dan mereka berdua perlu menjalani latihan selama 114 jam.

Tempoh latihan kebiasaannya mengambil masa selama enam hingga 18 bulan, namun Putera Sultan dan gandingannya perlu mempelajari kesemua kemahiran dan maklumat dalam masa 10 minggu, malah ada hari beliau menghabiskan masa selama 16 jam untuk latihan, biarpun dalam bulan Ramadan.

Menceritakan mengenai pe­ngalamannya dalam satu temu bual eksklusif bersama Arab News, Putera Sultan memberi­tahu, beliau tidak takut untuk ke angkasa lepas, namun bimbang jika jatuh sakit sehingga terpaksa menarik diri.

Pada 1985, Putera Sultan dan Abdulmohsen menyertai lima lagi angkasawan dalam program berkenaan di Houston dan mereka meneruskan latihan bersama. Ketika latihan berlangsung, setiap angkasawan dikehendaki memilih tiga jenis makanan harian yang akan mereka nikmati di angkasa lepas.

GAMBAR kenang-kenangan Putera Sultan Bin Salman sebagai angkasawan
GAMBAR kenang-kenangan Putera Sultan Bin Salman sebagai angkasawan
yang membanggakan Arab Saudi. – AGENSI 

Putera Sultan memaklumkan beliau berpuasa pada waktu siang dalam bulan Ramadan.

Akhirnya, pada 17 Jun 1985, hari yang ditunggu-tunggu oleh Putera Sultan dan seluruh rak­yat Arab Saudi akhirnya tiba.

Kumpulan angkasawan mula bersiap seawal pukul 2 pagi waktu tempatan serta menuju ke tapak pelancaran 39A di Flo­rida dan pada pukul 7.33 pagi, kapal angkasa Discovery berlepas dengan sempurna.

Peristiwa bersejarah itu disaksikan 230 delegasi Arab Saudi termasuk empat adik-beradik Putera Sultan, Duta Arab Saudi ke AS, Ketua Pengarah Arabsat dan Abdulmohsen.

Lapan jam selepas berlepas, Putera Sultan bersama pasukannya mula melaksanakan tugas yang diberi dan mereka mempunyai masa tujuh hari untuk menyelesaikannya. Hari Raya Aidilfitri diumumkan ketika dua hari misi mereka berjalan dan Putera Sultan menyam­butnya sambil menikmati kurma.

Putera Sultan berpeluang merasai pelbagai pengalaman hebat sepanjang berada di ang­kasa lepas termasuk sering menghabiskan masa dengan membaca al-Quran secara perlahan, menjadikan beliau orang pertama membaca kitab suci tersebut di angkasa lepas.

Pada 24 Jun pukul 6.11 pagi waktu tempatan, Discovery berjaya mendarat di landasan 23 di Pangkalan Udara Edwards dan kejayaan itu menyaksikan Putera Sultan dinobatkan sebagai angkasawan berketurunan Arab dan beragama Islam pertama di dunia.