Berdasarkan laporan ‘Prospek Populasi Dunia’ yang dikeluarkan oleh Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah tersebut boleh me­ningkat kepada 11 bilion orang menjelang tahun 2100.

Menurut laporan itu, populasi penduduk di rantau sub-Sahara Afrika akan meningkat seba­nyak dua kali ganda.

Kajian berkenaan memba­yangkan gambaran masa hadapan di mana populasi penduduk di beberapa negara meningkat ekoran tempoh jangka hayat penduduknya yang semakin panjang meskipun pertumbuhan global berkembang dengan perlahan dan kadar kesuburan menurun.

Menjelang 2050, lebih separuh peningkatan populasi dunia akan tertumpu kepada sembilan negara sahaja iaitu India, Nigeria, Pakistan, Republik Demokratik Congo, Ethiopia, Tanzania, Indonesia, Mesir dan Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, China akan menyaksikan populasi penduduknya menurun sebanyak 2.2 peratus atau sekitar 31.4 juta orang antara 2019 dan 2050.

Sebanyak 27 negara atau wilayah mengalami penurunan populasi penduduk sekurang-kurangnya satu peratus sejak 2010 ekoran kadar kesuburan yang rendah.

Laporan itu turut menyebut angka kematian melebihi jumlah kelahiran baharu di beberapa negara seperti Belarus, Jerman, Estonia, Hungary, Itali, Jepun, Russia, Serbia dan Ukraine. – AFP