Wakil Moscow, Dmitry Lobach berkata, Kiev juga gagal membuktikan Rusia terlibat me­nyalurkan senjata dan wang kepada pemisah pro-Moscow serta mencadangkan agar tuduhan Ukraine itu patut diketepikan.

“Ukraine gagal menampilkan bukti baharu penting yang mana diperlukan mahkamah bagi mengubah pendirian mereka.

“Mahkamah ini mendapati kes Ukraine mengenai penyaluran wang kepada pengganas adalah tidak meyakinkan,” katanya merujuk penemuan hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2017 ketika pendengaran di sini semalam.

Dua tahun lalu, Ukraine mengheret Rusia ke ICJ dengan mendakwa Moscow menyokong pemberontak pemisah dengan membekalkan senjata dan wang.

Ini termasuk memberikan pemberontak dengan sistem misil BUK yang menembak jatuh pesawat MH17 pada 17 Julai 2014 ketika penerbangan dari Amsterdam dan Kuala Lumpur.

Ukraine juga menuduh Rusia melakukan ‘diskriminasi dan penganiayaan secara sistematik’ terhadap etnik Tatar dan komuniti lain di Semenanjung Crimea yang dirampas Moscow.

Bagaimanapun, ICJ pada April 2017 menolak permintaan Kiev bagi langkah kecemasan untuk menghalang Rusia tentang dakwaan penyaluran wang dan senjata pada kawasan perang di timur Ukraine.

Dalam pada itu, seorang lagi peguam Rusia, Samuel Wordswoth memberitahu, Kiev telah gagal menampilkan sebarang bukti baharu bahawa Moscow terlibat dalam tembakan pesawat MH17. – AFP