CNN menerusi analisis politik melaporkan, usaha Jae-in mendapat sokongan China, sekutu kuat Pyongyang, namun negara itu berdepan risiko ‘diketepikan’ apabila pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilihat ‘melebihkan’ Seoul kerana banyak menyokong usaha diplomatik dan ekonomi di antara mereka.

Namun selepas kegagalan si­dang kemuncak kedua Jong-un dengan Presiden AS, Donald­ Trump di Hanoi pada Februari lalu, pe­ngaruh Pre­siden China, Xi Jinping mula meningkat dan hubungan Pyongyang-Seoul terjejas.

Hal ini ketara apabila Pyongyang melancarkan ujian senjata nuklear dan menyebarkan pro­paganda menentang Seoul.

Tindakan itu sebagai ‘hukuman’ kepada Seoul yang gagal memastikan proses damai berjalan lancar dan keengganan AS menarik balik sekatan terhadap Korea Utara.

Biarpun Beijing menyokong sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Pyongyang, namun itu tidak bermakna China komited terhadap ‘kempen tekanan’ yang dilakukan AS.

Ketiga-tiga pemimpin itu kini terikat dalam ‘hubungan diplomatik tiga segi’ yang saling bergantung bagi mendapatkan apa yang mereka inginkan.

Berdasarkan teori itu, Jinping mempunyai kedudukan kukuh, beliau mahu melepaskan China daripada tarif AS, namun apabila melibatkan Korea Utara, Beijing bersedia memainkan peranan dalam kedua-dua isu.

Terdahulu, Trump dan Jong-un bertemu sekitar sejam di Zon Bebas Tentera (DMZ). – AFP/agensi