Perkara itu didedahkan oleh dua pegawai penjara, dua bekas banduan dan salah seorang daripada tentera yang terlibat kepada Reuters.

Kesemua tentera berkenaan dibebaskan pada November tahun lalu, bermakna mereka hanya menjalani hukuman penjara kurang daripada setahun berbanding 10 tahun yang dikenakan oleh mahkamah.

Mereka juga menjalani hukuman penjara pada tempoh singkat berbanding dua wartawan Reuters yang mendedahkan mengenai pembunuhan terbabit.

Dua wartawan itu, Wa Lone dan Kyaw Soe Oo, terpaksa meringkuk dalam penjara lebih 16 bulan kerana memperoleh maklumat rahsia kerajaan. Kedua-dua­nya dibebaskan selepas menerima pengampunan pada 6 Mei lalu.

HUKUMAN DIKURANGKAN TENTERA

Ketua Wadar Penjara Sittwe di Rakhine, Win Naing dan pegawai kanan penjara di Naypyitaw mengesahkan ketujuh-tujuh tentera itu sudah tidak berada dalam penjara sejak beberapa bulan lalu.

“Hukuman mereka dikurangkan oleh tentera,” kata pegawai kanan penjara yang enggan didedahkan identitinya.

Kedua-dua pegawai penjara itu enggan memberikan butiran lebih lanjut dan berkata, mereka tidak tahu tarikh sebenar pembebasan kesemua tentera tersebut, yang tidak dinyatakan kepada umum.

Sementara itu, jurucakap tentera, Zaw Min Tun dan Tun Tun Nyi enggan memberikan sebarang komen.

Tujuh tentera itu merupakan anggota keselamatan yang hanya dikenakan hukuman berhubung operasi penghapusan etnik di Rakhine, sehingga menyebabkan lebih 730,000 orang Muslim Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Dalam pada itu, salah seorang tentera, Zin Paing Soe mengesahkan dia merupakan salah seorang yang dibebaskan namun enggan mengulas lanjut.

“Kami diberitahu untuk tidak berkata apa-apa,” katanya menerusi panggilan telefon pada Khamis lalu.

DIBERI ARAK, ROKOK

Sementara itu, dua bekas banduan memberitahu, tujuh tentera itu sa­ngat dikenali dalam kalangan banduan di Penjara Sittwe.

“Kami berada di bangunan yang sama tetapi berlainan sel,” kata aktivis politik, Aung Than Wai yang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di bawah undang-undang rahsia selepas dia mengkritik pegawai kerajaan dan memuat naik imej pegawai berkenaan dalam talian.

Than Wai yang dibebaskan dari Sittwe pada Disember lalu berkata, dia mahu mendedahkan secara umum tentang pembebasan kesemua tentera itu kerana seorang penduduk kampung Bu­ddha Rakhine yang turut terbabit dalam pembunuhan di Inn Din, masih meringkuk di penjara.

Penduduk kampung berkenaan, Tun Aye yang juga seorang guru, menjalani hukuman penjara di Penjara Buthidaung, utara Rakhine.

Tambah Than Wai, kesemua tentera itu diberikan keistimewaan seperti minuman keras dan rokok meskipun dilarang dalam penjara.

Seorang lagi bekas banduan yang enggan dikenali berkata, kesemua tentera itu juga menerima lawatan oleh pegawai tentera.

Jelasnya, tujuh tentera dibawa keluar oleh kenderaan tentera pada November tahun lalu.

Pada bulan yang sama, Paing Soe membuka akaun Facebook baharu dan mencatat pernah menyertai Akademi Perkhidmatan Pertahanan dalam biografinya.

Dalam salah satu hantaran, dia berkata tidak sabar untuk menamatkan tempoh setahun me­ringkuk dalam penjara.

“Bila perkara malang ini akan berakhir untuk saya? Tahun ini betul-betul mengubah hidup saya,” jelasnya.