Seorang daripada ahli kumpulan itu, Tanieli Fatu memberi amaran insiden itu secara tidak langsung ‘memperkenalkan’ Brenton Tarrant dan dia kini menjadi ‘tumpuan’ mereka.

Selain itu Fatu berkata, mereka juga mempunyai ‘rakan’ di dalam penjara yang boleh ‘berkawan’ dengan suspek.

“Biarpun kami sering dikaitkan dengan kegiatan tidak bermoral, namun kami menolak perbuatan atau kekejaman yang melangkaui batas seperti dilakukan Tarrant. Dia perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di dalam penjara nanti,” katanya.

PENGGANAS TOLAK KHIDMAT PEGUAM

Dalam pada itu, suspek warga Australia itu dilaporkan dalam keadaan waras dan bertegas untuk membela diri sendiri tanpa bantuan khidmat peguam.

Lapor Al-Jazeera, per­kara itu dimaklumkan oleh bekas peguam Tarrant, Richard­ Peters yang menyifatkan suspek berfikiran rasional dan sedar apa yang berlaku.

Tindakanitu secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan apabila Tarrant boleh ‘berhujah’ apa sahaja fakta di mahkamah untuk membela dirinya.

Kelmarin, Tarrant, 28, dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali atas dakwaan membunuh dalam serangan di dua buah masjid ketika solat Jumaat.

Dia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan namun menunjukkan simbol ketuanan kulit putih dan dijang­ka berdepan pelbagai lagi dakwaan apabila dihadapkan ke mahkamah pada 5 April ini.

REMAJA SEBAR RAKAMAN VIDEO

Dalam perkemba­ngan berkaitan, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dihadapkan di mahkamah hari ini atas tuduhan menyebarkan rakaman video secara langsung yang menunjukkan bagaimana Tarrant melan­carkan serangan dan membunuh mangsa di Masjid Al Noor.

Remaja yang dirahsiakan identitinya itu turut didakwa mengedar gambar masjid dengan mesej ‘sasaran dicapai’, selain cuba mencetuskan sentimen keganasan.

Remaja itu berdepan hukuman penjara maksimum 14 tahun bagi setiap pendakwaan dan hakim tidak membenarkannya diikat jamin selain akan dihadapkan ke mahkamah buat kali kedua pada 8 April ini.

POLIS GELEDAH RUMAH

Pasukan polis antikeganasan Australia menggeledah dua buah rumah yang dikaitkan dengan Tarrant di Sandy Beach dan Lawrence di New South Wales, Australia.

Langkah itu diambil bagi mencari bahan bukti membantu polis New Zealand menjalankan siasatan rapi berhubung insiden berkenaan.

Sementara itu, puluhan kubur digali sebagai persediaan upacara pengebumian mangsa-mangsa yang terkorban.

Ketika ini, tiada penyerahan jenazah dilakukan dan pihak berkuasa New Zealand menyatakan perkara itu memakan masa bagi mengumpul semua bukti berkaitan.

SYARIKAT ‘BOIKOT’ IKLAN DIGITAL

Beberapa syarikat ternama di negara ini memutuskan untuk menarik iklan daripada Facebook dan Google susulan sera­ngan pengganas yang disiarkan secara langsung dalam media sosial.

NZ Herald melaporkan, ASB Bank, Burger King, Spark dan syarikat lain ‘sepakat’ me­lakukan perkara itu bagi menentang ‘isi kandungan yang tidak dikawal’.

Jenama lain yang bertindak secara sendirian termasuk Kiwibank, ANZ dan BNZ dengan menggantung pengiklanan digital sejak Jumaat lalu. – AFP/AGENSI