Menurut laporan BBC, aktor kelahiran Mesir itu menegaskan, watak jahat itu tidak boleh dikaitkan dengan sebarang tindakan keganasan yang mencerminkan ideologi atau agama.

“Itu bukan sesuatu yang saya akan layan. Jadi jika itu sebabnya saya menjadi pilihan, maka saya tidak akan terima,” katanya.

Dalam satu temu bual yang disiarkan dalam Daily Mirror dan akhbar Daily Express, Rami, 38, mendedahkan te­lah membincangkan perkara itu dengan pengarah filem James Bond, Cary Fukunaga bagi menegaskan tidak akan melakonkan watak bersifat fundamentalis keagamaan.

“Amat jelas itu bukan visinya. Watak itu adalah pengganas yang berbeza,” katanya.

Tambah Rami, beliau memainkan watak yang hebat dan berasa sangat teruja diberi peluang untuk berlakon dalam filem tersebut yang bakal ditayangkan pada April tahun depan.

“Ini merupakan satu lagi skrip yang sangat bijak dan tahu apa diinginkan oleh penonton dalam filem tersebut,” katanya.

Beliau bergandingan de­ngan pelakon Daniel Craig dalam edisi ke-25 francais filem tersebut.

Watak Rami dalam filem itu digambarkan sebagai penjahat misteri yang dilengkapi senjata teknologi canggih.

Filem terbaharu Bond itu sehingga kini hanya dikenali dengan judul ‘Bond 25’.

Rami memenangi Oscar untuk penampilannya sebagai penyanyi kumpulan Queen, Freddie Mercury dalam filem Bohemian Rhapsody.