Mail Online melaporkan, mendapat inspirasi daripada program televisyen ikhtiar hidup, mereka berlepas ke Malaysia pada Oktober tahun lalu bagi melakukan misi itu.

Daniel Olifi, 26, dan James Moynihan, 27, berdepan pelbagai cabaran seperti hipotermia, dehidrasi, gigitan nyamuk, luka ekoran terkena parang dan ribut petir di samping menyusut berat badan sekitar 20 kilogram disebabkan hanya makan buah-buahan hutan dan serangga termasuk cacing.

Berbekalkan batu pengasah untuk menghasilkan api, parang, bekas air dan alat pertolongan cemas, mereka menceritakan cabaran yang dilalui sekembalinya ke tanah air.

Olifi memberitahu, dia dan rakannya mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa mereka dapat ‘memaksa diri sendiri’ menjalani hidup ‘dalam situasi asal’.

“Pada hari pertama, kami cuba mencari tasik di tengah hutan namun tidak ditemukan. Air bersih dibawa juga kehabisan.

“Saya mengalami luka ter­kena parang di tapak ta­ngan selepas terjatuh ke dalam gaung,” kata­nya.

Keesokan hari, mereka terpaksa meninggalkan hutan itu bagi membolehkan Olifi mendapatkan rawatan segera menjahit luka di tapak tangannya.

Selepas itu, mereka kembali ke hutan sama di lokasi berbeza berdekatan Sungai Tekai dan mengharungi 18 hari lagi.

Dalam pada itu, Moynihan berkata, hutan di Malaysia merupakan pertaruhan paling mencabar yang pernah dilalui mereka.