Menurut jurucakap kepada keluarga Thomas Starzl, doktor itu meninggal dunia di kediamannya di Pittsburgh, Pennsylvania, di samping ahli keluarganya.

Starzl menjadi terkenal apabila beliau melakukan pembedahan pemindahan hati pertama pada tahun 1963 sebelum mencatatkan kemajuan dalam pemindahan buah pinggang.

Menurut BBC, pesakit pertama yang dirawat Starzl meninggal dunia selepas pembedahan itu tetapi selepas beliau mencipta campuran ubat untuk mengelak berlakunya penolakan organ, beliau berjaya melaksanakan pembedahan organ pertamanya pada tahun 1967.

Sejak itu, ribuan nyawa manusia berjaya diselamatkan menerusi kaedah berkenaan dan Starzl dikenali sebagai ‘bapa pemindahan organ’ di atas usa­hanya memajukan teknik pembedahan daripada berisiko kepada prosedur yang boleh diakses semua orang.

Pada masa sama, Starzl turut menjalankan penyelidikan penggunaan organ haiwan kepada badan manusia.

Starzl bersara daripada bidang perubatan pada tahun 1991 dan menerbitkan autobiografi beliau bertajuk The Puzzle People. – DPA/AGENSI