Al-Jazeera melaporkan, Ar­dern menyifatkan suspek, Brenton Tarrant, 28, sebagai ‘ pengganas, pelampau dan penjenayah’ tanpa ingin menyebut namanya.

“Satu perkara yang pasti, anda tidak akan mendengar saya menyebut namanya.

“Dia bakal berdepan tin­dakan undang-undang secara menyeluruh bagi memastikan apa yang dilakukannya mene­rima balasan setimpal,” tegas be­liau.

Ardern juga menegaskan, ada­lah lebih baik menyebut nama-nama mangsa yang terkorban berbanding menyebut nama ‘si pengganas’.

Bercakap kepada media sebelum itu, Ardern berikrar akan melakukan apa sahaja berdasarkan bidang kuasanya untuk ‘menafikan’ hak serta pandangan berbaur perkauman yang diperjuangkan Tarrant.

Beliau juga akan meneliti semua perkara yang boleh digunakan untuk menghalang suspek yang berasal dari Australia mendapat peluang dikenakan hukuman yang tidak wajar ekoran jenayah keganasan yang mengorbankan 50 orang itu.

SALAM KIA ORA

Terdahulu, pelbagai pihak memberikan sokongan positif kepada cadangan kerajaan untuk memperbaharui undang-undang senjata api yang akan diumumkan pada 25 Mac ini.

Biarpun belum memuktamad­kan pembaharuan yang bakal dilakukan, pemilik senjata api di negara ini menyambut baik usa­ha kerajaan dan sesete­ngahnya sudah mula menye­rahkan senjata kepada pihak berkuasa.

Sebagai contoh, petani dari Masterton di North Island, John Hart menyerahkan raifal semi automatik miliknya kepada polis.

Hart menerusi Twitternya me­nulis: “Raifal ini mempu­nyai kegunaan tertentu ketika menguruskan ladang, namun kepentingan saya ketika ini adalah untuk tidak menyalahgunakannya. Kami tidak perlukan ini (raifal) di New Zealand.”

Bagaimanapun, pandangan positif Hart menerima kecaman beberapa pengguna facebook dari Amerika Syarikat (AS) yang menolak undang-undang senjata api dirombak.

Sebagai tindak balas, Hart menulis: “Salam kia ora kepada semua rakan-rakan baharu Facebook saya dari AS.”

Kia ora adalah bahasa Maori yang membawa maksud ‘semoga dalam keadaan baik’.

PERSIAPAN PENGEBUMIAN

Sementara itu, pihak berkuasa New Zealand sudah bersedia menyerahkan kumpulan pertama iaitu enam jenazah mangsa kepada keluarga masing-masing untuk dikebumikan hari ini.

Pasukan koroner memaklumkan proses bedah siasat terhadap 50 jenazah sudah selesai dan 12 mayat telah dikenal pasti.

Pasukan sukarelawan dari luar negara turut diterbangkan ke negara ini bagi membantu menguruskan jena­zah mangsa.

AMARAN ERDOGAN, TRUDEAU

Dalam perkembangan ber­kai­tan, Presiden Turki, Recep Tayyip­ Erdogan menggesa Wellington melakukan siasatan menyeluruh terhadap Tarrant dan memberi amaran mana-mana pihak yang cuba ‘menyerang’ Istanbul akan ‘dihantar pulang dalam keranda’.

Recep Tayyip membuat ke­nyataan itu sebagai membalas manifesto Tarrant yang menyifatkannya ‘panglima perang’ yang mengetuai negara paling banyak musuh neo-Fasis.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau juga mengutuk pemimpin yang enggan meme­rangi jenayah kebencian ketika Parlimen meluluskan usul menentang sentimen ketuanan kulit putih susulan serangan itu.

“Umat Islam, Kristian, Yahudi, kulit hitam, putih, kita semua, kita mesti melawan jenayah kebencian ini sebagai satu pasukan,” tegasnya. – AFP/AGENSI