Lapor Saudi Gazette, jemaah haji akan dibekalkan dengan air zamzam ketika mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, pintu masuk ke Mekah selain tempat penginapan mereka di Mekah.

Menurut Timbalan Pengerusi Pejabat Bersatu Zamazmah, Amir Obaid, pihaknya akan melaksanakan tiga program bagi menyediakan air zamzam kepada tetamu Allah.

Jelas Amir, program pertama akan diadakan di dua pusat bimbingan di Mekah-Jeddah dan Lebuhraya Mekah-Madinah dengan air itu diagihkan seramai 134 petugas.

Tambah Amir, di bawah program kedua, bekas air zamzam seberat 20 miligram akan diedarkan kepada jemaah haji di tempat penginapan mereka di Mekah oleh kira-kira 770 orang pekerja.

Sebanyak 99 trak digunakan untuk mengedarkan sejumlah 1.6 juta bekas air zamzam sepanjang musim haji.

Selain itu, menurut Amir, program ketiga hanya bermula pada akhir musim haji de­ngan sebanyak 2.4 juta bekas air berkapasiti 200 miligram diberikan kepada jemaah haji sebelum mereka bertolak ke negara masing-masing.

Dalam perkembangan berlainan, seramai 36,777 jemaah haji dari Malaysia, Pakistan, Bangladesh dan Indonesia me­nerima manfaat daripada Inisiatif Laluan Mekah tahun ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Direktorat Awam Pasport (Jawazat) kelmarin, sebanyak 33 pesawat yang membawa 13,317 jemaah haji lelaki dan wanita tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah.

Selain itu, sebanyak 57 pesawat yang membawa 23,427 jemaah haji tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Muhammad bin Abdul Aziz di Madinah. – AGENSI