VOA melaporkan, lebih 50 orang hilang sehari selepas letupan itu yang melibatkan talian paip minyak Nembe Creek di negeri Bayelsa.

Pemilik talian paip minyak, syarikat Aiteo Exploration Ltd. mendakwa, tiada sebarang kehilangan jiwa dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, jurucakap kumpulan orang asli di kawasan itu, Ketua Nengi James-Eriworio berkata, ramai orang termasuk kanak-kanak telah hilang.

Katanya, asap daripada api itu mengakibatkan pencemaran kepada udara dan air di lokasi kejadian.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan Nigeria untuk bertindak dan menyiasat insiden berkenaan.

Aiteo berkata, kebakaran yang bermula sekitar pukul 4 pagi waktu tempatan berjaya dipadam sepenuhnya semalam tanpa sebarang mangsa maut.

Namun, James-Weiworio menyangkalnya dan mendakwa api masih terbakar dan dikhuatiri ramai yang maut. – AGENSI