Menurut Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush, proses pengecaman semua yang terkorban telah selesai dan keluarga mangsa sudah dimaklumkan.

Hari ini juga, polis mengesahkan Muhammad Haziq Mohd. Tarmizi, 17, rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan hilang susulan serangan pengganas itu, disahkan antara yang turut terkorban dan remaja itu merupakan yang terakhir disahkan kematiannya.

Muhammad Haziq adalah anak kedua kepada Mohd. Tarmizi Shuib, 42, yang cedera parah dalam serangan di Masjid Al Noor.

Jenazah Mohd. Haziq disempurnakan dan dikebumikan di Memorial Park Cemetry Bromley, Christchurch hari ini.

LAPAN LAGI DIKEBUMIKAN

Selain Muhammad Haziq, lapan lagi jenazah turut dikebumikan di Christchurch dan mereka adalah Sayyad Ahmed Milne, 14; Tariq Rashid Omar, 24; Linda Susan Armstrong, 64; Farhaj Ahsan, 30; Hussein Mohamed Khalil Mustafa, 70; Mohammed Daoud Nabi, 71; Matiullah Safi, 55, serta Ashraf Ali, 61.

Sayyad Ahmed, remaja yang disifatkan oleh bapanya, John Milne sebagai ‘budak yang baik’ menyimpan impian untuk bermain dengan pasukan Manchester United.

Di Manukau Memorial Gardens, Auckland pula, ribuan penduduk membanjiri tanah perkuburan itu untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Imam Masjid Lautoka Jame di Fiji, Hafiz Musa Patel.

Menurut laporan portal NZ Herald, kehadiran luar biasa tersebut menyebabkan dewan pengebumian dan ruang solat menjadi sesak.

Semalam, enam mangsa pertama iaitu Khaled dan Hamza Mustafa, Junaid Ismail, Ashraf Ali, Lilik Hamid dan seorang lagi lelaki yang masih belum didedahkan identitinya selamat dikebumikan.

LARANGAN SENJATA API

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan New Zealand memutuskan untuk mengenakan larangan penggunaan senjata api separa automatik dan raifal tempur susulan serangan keganasan itu.

Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern hari ini.

“New Zealand akan mengenakan larangan semua senjata separa automatik jenis tentera. Kami juga akan mengenakan larangan terhadap semua raifal tempur,” kata Ardern.

Beliau juga mengumumkan langkah sementara bagi 
menghalang sebarang jual beli senjata sebelum undang-undang sebenar dikuatkuasakan.

Tambah Ardern, peluru berkapasiti tinggi dan kelengkapan tempur juga akan dikenakan larangan.

Ringkasnya, semua jenis senjata separa automatik yang digunakan dalam serangan pada minggu lalu akan dilarang di negara ini.

Dalam pada itu, menurut laporan Buzzfeednews.com, sebanyak 37 senjata api telah diserahkan secara sukarela oleh beberapa individu kepada pihak polis sejak Selasa lalu.

Tindakan berkenaan dibuat selepas Ardern menggalakkan pemilik senjata api berbuat demikian pada Isnin lalu demi keselamatan negara.

KESELAMATAN SOLAT JUMAAT

Dalam perkembangan berlainan, pihak polis dilaporkan bertungkus lumus membantu memulihkan semula 
keadaan di Masjid Al Noor sebagai persediaan solat Jumaat esok.

“Kami berusaha mengumpulkan semua bukti di lokasi kejadian bagi membolehkan umat Islam dapat kembali beribadah dengan segera,” kata jurucakap polis.

Kawasan di sekitar masjid terbabit bagaimanapun masih ditutup dan dikawal pihak berkuasa.

Sekiranya masjid 
tersebut masih belum pulih sehingga esok, 
solat Jumaat 
dijangka diadakan di sepanjang jalan di Hagley Park. – AFP/AGENSI