Great Pacific Garbage Patch, terletak antara Hawaii dan California merupakan kawasan longgokan sampah terapung yang terbesar di dunia.

Memetik laporan portal CNN, Pengasas Ocean Voyages Institute, Mary Crowley berkata, misi pembersihan yang dikendalikan oleh beberapa aktivis alam sekitar itu disifatkan sebagai ‘misi paling besar dan berjaya setakat ini’ telah dijalankan di kawasan laut itu.

Menurutnya, dengan menggunakan teknologi satelit dan dron, aktivis berjaya mengeluarkan beberapa sisa termasuk botol pencuci, perabot plastik dan mainan kanak-kanak.

Jelas Crowley, semasa kerja-kerja pembersihan dijalankan, dua pukat ‘ghost net’ atau pukat yang ditinggalkan, masing-ma­sing seberat lima dan lapan tan juga telah dikeluarkan.

“Pentingnya untuk mengeluarkan pukat ‘ghost net’ yang besar dari laut tetapi kadang kala ikan paus dan ikan lumba-lumba mati kerana terjerat dengan jaring kecil,” katanya.

Dalam pada itu Crowley memberitahu, kira-kira 1.5 tan plastik yang dikumpulkan telah diserahkan kepada program siswazah seni University of Hawaii dan beberapa penggiat seni di kepulauan tersebut.

Katanya, mereka merancang mengubah sisa plastik kepada ukiran atau karya-karya lain.

Jelas beliau, baki sisa plastik itu dijangka diproses oleh Schnitzer Steel dan dihantar ke loji Program Pemulihan Sisa Tenaga Honolulu (H-Power) di Hawaii untuk sumber tenaga.