Dalam kejadian kira-kira 6 pagi (waktu tempatan) hari ini, pihak polis menerima laporan dua orang awam yang memburu di sebuah ladang getah di Kg Hujung Sungai ditembak individu tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Yala Kol. Pol. Siwach Siwichai berkata Pisit Chaisit, 22, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Thanawut Khemkratok, 38, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Yala.

“Selepas kejadian tembak di ladang getah, sepasukan renjer menaiki kenderaan anti peluru digerakkan untuk membuat pemeriksaan di lokasi kejadian. Ketika mereka turun dari kenderaan menuju ke lokasi kejadian, dua butir bom buatan sendiri diletupkan.

“Seorang renjer maut di tempat kejadian manakala tiga lagi cedera,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Siwach berkata pihak polis sedang menjejaki pihak yang terlibat dalam serangan ini dan setakat ini belum ada pihak tampil melakukan serangan itu. -BERNAMA