Kematian berlaku di daerah sempadan Cox’s Bazar dan Rangamati di mana ratusan ribu Rohingya berlindung selepas melarikan diri dari serangan ketenteraan kerajaan Myanmar.

Satu daripada dua kematian etnik Rohingya di Cox’s Bazar adalah melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua setengah tahun mati apabila ditimpa din­ding lumpur bersama ibunya hanya cedera.

Satu lagi kematian melibatkan seorang lelaki dihempap sebatang pokok tumbang ketika hujan lebat.

Seramai 10 lagi dilaporkan maut di Rangamati tetapi pasukan penyelamat dilaporkan ber­depan kesukaran untuk mema­suki kawasan berkenaan akibat cuaca buruk.

Kebanyakan pelarian Rohingya tinggal di pondok diperbuat daripada buluh dan lembaran plastik di kawasan berbukit di pantai Cox’s Bazar dan jumlah mereka semakin meningkat sejak Ogos lalu.

Pegawai kanan suruhanjaya pelarian Bangladesh, Mohammad Shamsuddoha berkata, kira-kira 1,500 pondok pelarian telah rosak atau musnah sejak hujung ming­gu lalu akibat hujan lebat.

Anggota Jabatan Meteorologi Bangladesh, Nijhum Rokeya Ahmed berkata, terdapat kemungkinan hujan lebat berterusan dalam tempoh 24 jam yang boleh mencetuskan tanah runtuh di daerah Rangamati dan Cox Bazar.

Sementara itu, pegawai ter­tinggi Kementerian Bantuan dan Pengurusan Bencana, Mohammad Shah Kamal menegaskan, kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi bantuan antarabangsa untuk memindahkan segera kumpulan awal 100,000 Rohingya dari kem penempatan mereka.

Sehingga minggu pertama bu­lan Jun, lebih 28,000 pela­rian te­lah dipindahkan, menurut kumpulan penyelarasan yang menyelia kerja-kerja bantuan di kem-kem yang terletak di Cox’s Bazar.

Minggu lalu, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pela­rian berkata, penempatan semula adalah satu cabaran besar di lokasi berkenaan kerana kurangnya kawasan tanah rata alternatif de­ngan sekitar 200,000 orang telah dikenal pasti tinggal di kawasan berisiko tinggi. – REUTERS