Arab News melaporkan, terdapat dua kaedah yang digunakan negara Islam dalam menentukan tarikh awal puasa iaitu melihat anak bulan serta hisab yang boleh mendorong keba­nyakan negara mengumumkan tarikh awal Ramadan pada tarikh yang berbeza.

Pada tahun ini, tempoh ber­puasa bagi umat Islam di kawasan Hemisfera Utara agak panjang selepas Ramadan jatuh pada musim panas.

Menteri Hal Ehwal Islam Arab Saudi, Sheikh Abdullatif al-Sheikh berkata, lebih 4,000 ulama akan ditugaskan sepanjang Ramadan dan 1,100 imam dilantik bagi mengetuai solat tarawih di negara ini.

Selain itu, lebih 2,400 buah masjid sudah diubah suai dan 221 daripadanya sudah dibuka untuk kegunaan jemaah sebelum Ramadan bermula.

Beliau berkata, sebanyak 100 pendakwah lelaki dan 50 pendakwah wanita akan ditempatkan di Mekah serta Madinah untuk membantu para jemaah yang menunaikan ibadah umrah.

“Arab Saudi juga melantik sebanyak 70 imam untuk menge­tuai solat tarawih di 35 buah negara sebagai memenuhi permintaan negara-negara Islam lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Kebangsaan Islam Filipina (NCMF) turut memaklumkan pihaknya gagal melihat anak bulan semalam, sekali gus menetapkan tarikh berpuasa bagi umat Islam di negara itu bermula esok.

Selain itu, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Australia dan Turki turut ber­puasa esok. – AGENSI