Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, mereka terdiri daripada lapan lelaki dan enam wanita berusia antara 21 hingga 48 tahun.

"Bertindak atas maklumat awam, satu serbuan dilakukan pukul 10 malam ketika kesemua suspek sedang bersiap-siap untuk keluar dari Malaysia di pesisir pantai berhampiran Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara, Desaru, di sini.

"Kesemua suspek yang sedang menunggu bot untuk dibawa keluar dari Malaysia disyaki ditinggalkan sindiket berikutan kehadiran pihak berkuasa dihidu lebih awal oleh beberapa lelaki di pantai tersebut dan terus melarikan diri.

"Mereka ini disyaki adalah tekong darat yang mengatur ketibaan bot dan pengurusan membawa kesemua PATI itu keluar dari Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Menurut Zulfadli lagi, kesemua PATI disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu cuba keluar Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

"Maritim Malaysia akan mempertingkatkan lagi operasi seperti ini dan ingin menyeru kepada orang ramai agar menjadi mata dan telinga dalam ZMTS," ujarnya. - UTUSAN ONLINE