Dia ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Kesihatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini selepas menerima aduan daripada orang ramai.

Lelaki itu telah menyalahgunakan permit kerja serta menjalankan kegiatan tersebut sejak beberapa tahun lalu tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihak kementerian memandang serius perkhidmatan­ pengamal rawatan pergigian ha­ram yang didapati dijalankan secara berleluasa ketika ini.

Beliau berkata, di bawah Akta Pergigian 1971, hanya doktor gigi yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia sahaja boleh menawarkan rawatan pergigian di negara ini.

“Kita bimbang kerana orang ramai masih tidak sedar bahawa terdapat doktor gigi tidak berkelayakan telah menawarkan­ perkhidmatan dan rata-rata peng­guna pula tertarik dengan rawatan itu disebabkan harganya yang murah.

“Jadi, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan risiko yang boleh dihadapi sekiranya mendapatkan perkhidmatan daripada pengamal pergigian haram seperti itu kerana mereka terdedah kepada pelbagai komplikasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, dari tahun 2015 hingga bulan ini, sebanyak 46 aduan telah diterima berkenaan pengamal rawatan pergigian haram dan 18 kes telah berjaya dibawa ke mahkamah.

“Malah, dalam satu kes yang berlaku pada 30 Mac lalu, seorang wanita warganegara Indonesia telah didenda RM300,000 kerana didapati menawarkan perkhidmatan di sebuah klinik gigi di Johor,” jelasnya.

Sementara itu, menurut seorang pesakit yang hanya dikenali sebagai Rasyidah, 28, ketika ditemui dalam serbuan tersebut berkata, dia telah mendapatkan rawatan gigi dengan doktor ber­kenaan kerana caj rawatannya lebih murah daripada klinik swasta lain.

Selain itu katanya, prosedur rawatan doktor tersebut yang di­lihat lebih mudah daripada klinik swasta telah menarik minatnya.

“Sebagai contoh, rawatan perkhidmatan memasang pendakap gigi (braces) hanya dikenakan caj RM2,650 sedangkan di klinik swasta lain lebih RM5,000,” katanya.