Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.20 malam kelmarin yang mana suspek yang merupakan ibu kepada tiga anak dikatakan mengamuk dengan memegang sebilah pisau di rumah mereka.

Ketika kejadian, tiga anak suspek berusia lima, tujuh dan sembilan tahun serta adik lelakinya berusia 21 tahun turut berada di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian itu dilaporkan adik suspek selepas diminta bapa saudaranya yang bimbang dengan keselamatan neneknya berikutan suspek sering mengamuk sebelum ini.

Menurut beliau, siasatan awal juga mendapati suspek sering meracau, ketawa, senyum serta bercakap sendirian dipercayai kerana pengaruh dadah.

"Bapa saudara pengadu tinggal berasingan namun kerap datang ke rumah mangsa kerana bimbang dengan keselamatan mangsa serta tiga anak suspek sejak suami mangsa meninggal dunia baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Noorzainy, polis turut merampas sebilah pisau berhulu besi yang disyaki digunakan oleh suspek ketika kejadian untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap suspek setakat ini tidak dapat dijalankan kerana wanita berkenaan enggan memberi kerjasama dan dipercayai masih dalam pengaruh dadah.

"Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkait kesalahan dadah dan jenayah.

"Suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya. - UTUSAN ONLINE