Kejadian itu berlaku kelmarin ketika pasangan berkenaan keluar bersiar-siar di Persiaran Bayan Indah di sini, kira-kira pukul 12 tengah malam.

Difahamkan, pertengkaran tercetus ketika mangsa dalam keadaan mabuk menuduh kekasihnya itu mempunyai wanita lain sehingga menimbulkan kemarahan suspek yang bertindak memukul kepala mangsa dengan topi keledar.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, kejadian itu disedari orang awam yang cuba menghalang dan kemudiannya menahan suspek sebelum menghubungi polis.

Tambah beliau, mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala awal pagi semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek telah mengenali wanita berkenaan dan keluarga mangsa sejak kira-kira 15 tahun lalu namun baru berpasangan sebagai kekasih antara empat hingga lima bulan lalu.

Tambah beliau, semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dengan kesemuanya melibatkan kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Suspek sudah direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. - UTUSAN ONLINE