Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian dikatakan berpunca daripada salah faham antara mangsa dengan anak suspek yang berusia 45 tahun terbabit.

“Mangsa kemudian mengadukan perkara tersebut kepada bapanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Cheras.

“Akibat kejadian tersebut, kanak-kanak perempuan itu mengalami kecederaan di bahagian hidung serta tangan dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamed Mokhsein, bertindak atas laporan dibuat bapa mangsa, pihaknya kemudian telah menahan wanita tersebut di kediamannya kira-kira pukul 1 pagi pada 7 Julai lalu.

Katanya, suspek kemudian telah ditahan reman sehingga keesokan harinya.

“Permohonan laporan perubatan mangsa telah dipohon untuk melengkapkan kertas siasatan yang dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan itu kemudian akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah laporan perubatan mangsa diperolehi,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE