Suspek yang berusia 42 tahun didakwa telah mendera anak kandungnya yang berusia 11, tujuh dan dua tahun di rumah mereka di Rumah Transit Uda, Tanjong Tokong di sini sejak April lalu dan laporan polis mengenai kejadian itu telah dibuat oleh ibu suspek pada 16 April lalu.

Difahamkan, anak kandung mangsa iaitu dua orang perempuan dan seorang lelaki masih lagi trauma akibat didera oleh ibu mereka.

Seorang anak perempuan suspek yang berusia 11 tahun mengalami lebam pada tangan dan peha manakala dua lagi anak suspek tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, selepas laporan polis dibuat, wanita berkenaan dipercayai telah melarikan diri ke Kedah.

“Pada masa ini gerakan memburu suspek masih dijalankan.

“Pihak polis telah pergi ke kawasan rumah suspek di Tanjong Tokong semalam namun suspek tiada di sana dan kita percaya suspek kini berada di dalam negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani suspek telah bercerai dengan suami pada tahun 2018 dan ketiga-tiga anaknya tinggal bersama suspek.

“Anak-anak suspek mengadu kepada nenek mereka bahawa mereka dipukul kerana seorang anak perempuan suspek telah membuang air besar malah suspek juga telah mengugut untuk membunuh mereka dengan menggunakan pisau.

“Suspek juga didakwa menendang anak lelakinya di bahagian kemaluan dan ibu suspek terus membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan cucu-cucunya yang tinggal bersama suspek,” katanya.

Tambah beliau, suspek juga telah beberapa kali memukul ketiga-tiga mangsa dihadapan ibunya.

“Walaupun telah ditegur oleh ibunya saspek masih tidak berubah sikap.Kes ini disiasat di bawah Sekyen. 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. - UTUSAN ONLINE