Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa warga Indonesia berumur 40-an itu dan anak tirinya yang berusia enam tahun dilaporkan cedera ringan dan luka di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di kawasan itu dengan menunggang motosikal.

“Mangsa dikatakan dikejar seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna biru sebelum suspek menarik beg yang digalasnya.

“Suspek kemudiannya melarikan diri manakala kedua-dua mangsa terjatuh ke dalam longkang di bahu jalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, wanita itu yang cedera pada muka dan anaknya yang cedera pada kepala dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Tambah beliau, polis kini sedang giat memburu suspek dan kes itu di siasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE