Ketua Polis daerah ini, Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rahim Md. Din menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang ke atas mereka terbabit kerana telah menimbulkan kegusaran orang ramai.

Beliau memberitahu, sejak kebelakangan ini tersebar berita tidak sahih malah tidak benar sama sekali kononnya berlaku beberapa kes cubaan menculik di sekitar daerah ini sehingga viral dalam media sosial.

Mengulas lanjut, katanya, ada dakwaan serta laporan polis dibuat kononnya berlaku cubaan menculik di beberapa tempat di daerah ini seperti di kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Kampung Banggol Peradong di Manir serta di Chendering.

"Ada laporan polis yang mengadu berlaku kes cubaan menculik oleh sekumpulan lelaki menggunakan van putih kenderaan Mitsubishi Pajero, namun setelah kita jalankan siasat memang tiada sebarang unsur penculikan melainkan kes pencerobohan jenayah lain, bukan culik.

"Ada juga dakwaan kononnya berlaku kes culik tapi tak ada pula orang buat report polis, apabila kita siasat semua itu tidak benar dan palsu," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan keadaan keselamatan di sekitar daerah ini terkawal dan orang ramai diminta jangan risau berhubung perkara itu.

"Orang ramai juga dinasihatkan mendapat kesahihan daripada mana-mana balai polis terlebih dahulu jika viral berita jenayah penculikan sebagaimana didakwa berlaku sekarang," jelasnya. - UTUSAN ONLINE