Difahamkan, Rameli yang dipercayai tiba pada pukul 9.55 pagi dengan menaiki kereta Toyota Vellfire berwarna hitam tanpa disedari wartawan yang menunggu di hadapan pintu utama SPRM.

Selain beliau, turut dipanggil hari ini adalah bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib yang juga merupakan Yang Dipertua Pas kawasan Selayang dan seorang kakitangan pejabat Pas, Mohd. Khoirol Anuar Mat Zuki.

Mereka tiba bersama pada pukul 10 pagi.

Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki itu juga dipanggil memberikan keterangan ekoran isu pembayaran cek sejumlah RM1.4 juta kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Ia sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadapnya di luar mahkamah pada bulan lalu.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, SPRM akan memanggil tiga individu termasuk seorang pengerusi di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bagi membantu siasatan berhubung dana RM90 juta milik 1MDB dimasukkan ke dalam akaun rasmi Pas.

Setakat ini, beberapa individu telah dipanggil SPRM melibatkan siasatan itu antaranya Musyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull baru-baru ini mengesahkan tiada dana itu dimasukkan ke dalam akaun rasmi Pas.-UTUSAN ONLINE