Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kesemua suspek ditahan oleh sepasukan pegawan dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Daerah Gombak, di Kepong, Setapak, Cheras, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor

"Kumpulan ini aktif sejak awal tahun dan modus operandi mereka ialah dengan mencuri van yang kemudian akan digunakan untuk melakukan samun di kedai perkakasan dan bengkel kenderaan.

"Van curi yang mereka gunakan untuk aktiviti samun itu kemudian akan ditinggalkan di tepi jalan sebelum mereka menukar kenderaan bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa," katanya dalam sidang akhbar di IPD Gombak, di sini hari ini.

Menurut Samsor, enam anggota kumpulan itu mempunyai rekod jenayah dan dadah serta aktif melakukan jenayah di kawasan perindustrian sekitar ibu negara dan Selangor.

Jelasnya, selain tangkapan, pihaknya turut merampas tujuh buah van, kenderaan pacuan empat roda jenama Mitsubishi Triton dan Ford Ranger serta beberapa senjata dan alat yang digunakan untuk kegiatan samun.

"Siasatan awal mendapati, kesemua barangan yang dicuri akan dijual di kedai alat ganti kereta dan besi buruk," ujarnya.

Tambah Samsor, kesemua suspek telah direman hingga esok dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 395, 397, 457 dan 379A Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE