Dalam serbuan pertama pada pukul 12.30 tengah malam kelmarin, sepasukan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) menahan seorang lelaki berumur 33 tahun menaiki kereta jenis Honda City yang mencurigakan di persimpangan lampu isyarat Rantau Panjang berdekatan stesen minyak Petronas.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil pemeriksaan pihak AKSEM ke atas kenderaan tersebut telah menjumpai satu beg galas berwarna hitam mengandungi 12 bungkusan berwarna kekuningan.

“Pemeriksaan lanjut pada bungkusan berkenaan terdapat tiga bungkusan plastik cerah dengan balutan kekuningan dan paket plastik berwarna biru mengandungu pil-pil kemerahan dan kehijauan disyaki pil Yaba.

“Anggaran keseluruhan pil yang dirampas 72,000 biji pil Yaba seberat 8.4 kilogram (kg) dengan anggaran nilai semasa dadah RM1,080,000,” katanyadalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek yang ditangkap merupakan orang sekatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama lima tahun semenjak tahun 2016.

Jelasnya, suspek juga mengaku bekalan dadah itu milik seorang perempuan warganegara Thailand yang tinggal di kawasan Rantau Panjang dan dia berperanan sebagai penghantar ‘barang’.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, dalam serbuan kedua kira-kira pukul 12.30 tengah malam semalam, sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu telah membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Pinggiran Kok Lanas dekat sini.

Katanya, dalam serbuan itu polis telah menahan empat lelaki dan menemui satu paket plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu serta satu rangkai kunci di ruang tamu tingkat atas rumah berkenaan.

“Selepas siasatan lanjut salah seorang suspek telah membawa pihak polis ke rumah lain di dalam taman yang sama dan polis berjaya menemukan beberapa lagi bungkusan jenis dadah heroin, syabu dan sepucuk pistol jenis Revolver tanpa peluru dalam sebuah almari.

“Suspek ditangkap berumur lingkungan 24 hingga 53 tahun yang berkerja sebagai penternak lembu, buruh kasar dan kontraktor binaan.

“Anggaran nilai kesemua rampasan dadah jenis heroin 290 botol seberat 1.629 kg, syabu dan senjata ini berjumlah RM71, 980 dan kita turut menyita empat buah kereta di mana dua buah daripadanya kereta mewah, sebuah motosikal serta wang tunai berjumlah keseluruhan RM360,700 “ ujarnya.

Tambahnya, keempat suspek juga direman selama tujuh hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 membawa hukuman mati mandatori atau dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali. - UTUSAN ONLINE