Tertuduh, Shee Fook, 71, mengaku bersalah di hadapan Hakim, Yang Zaimey Yang Ghazali, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Difahamkan, Shee Fook kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Kajang atas kesalahan menipu membabitkan kes di Negeri Sembilan dan Melaka.

Bagaimanapun, Yang Zaimey menetapkan tarikh jatuh hukuman terhadap tertuduh pada 14 Mac bagi memberi ruang kepada pendakwaan menyediakan fakta kes dan dokumen berkaitan.

Mengikut pertuduhan, pada 17 Februari 2015 di CIMB Bank Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, tertuduh didakwa menggunakan wang RM35,000 iaitu hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram daripada akaun miliknya.

Sementara pertuduhan kedua pula, pada 13 Februari hingga 16 Februari tahun yang sama di Bank Islam Malaysia Berhad cawangan Sri Petaling, Shee Fook didakwa menggunakan wang berjumlah RM250,000 iaitu hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram daripada akaun simpanan miliknya.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Jika disabitkan bersalah, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah aktiviti wang haram atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Liyana Shahrir manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN ONLINE