Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, laporan itu diterima daripada seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun kira-kira pukul 12.25 tengah malam tadi.

Katanya, remaja berkenaan mendakwa diserang sekumpulan lima lelaki disyaki penyokong Perak ketika memberhentikan motosikal berdekatan stesen minyak berdekatan Stadium Bandaraya sewaktu dalam perjalanan pulang selepas menonton perlawanan tersebut.

Tambah beliau, mangsa mendakwa ditumbuk di bahagian muka oleh salah seorang suspek sehingga mengalami luka di bahagian hidung, mata kiri dan sakit kepala sebelum lari menyelamatkan diri.

"Mangsa tidak mengenali semua suspek yang memakai baju berwarna hitam itu tetapi mendakwa boleh mengecam wajah suspek sekiranya berjumpa sekali lagi.

"Siasatan awal juga mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Che Zaimani berkata, kejadian itu berkemungkinan berpunca daripada rasa tidak puas hati ekoran insiden kekecohan yang berlaku antara kedua-dua penyokong selepas perlawanan bola sepak malam tadi.

Tambahnya, dalam insiden itu, kedua-dua peminat pasukan berkenaan saling berbalas membaling botol air namun mangsa mendakwa tidak terlibat sebaliknya hanya melihat kejadian tersebut.

Jelasnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, insiden kekecohan antara kedua-dua penyokong selepas perlawanan malam tadi turut tular di media sosial namun sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada kedua-dua kelab bola sepak negeri berkenaan. - UTUSAN ONLINE