Serbuan kira-kira pukul 4.30 petang yang dijalankan oleh KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) itu, sebanyak satu set komputer serta beberapa mesin pencetak pelbagai jenama turut dirampas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP WPKL, Azeem Nazuri berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua premis yang diserbu merupakan pusat operasi yang didalangi sindiket sama.

Menurutnya, modus operandi sindiket yang telah bergerak aktif sejak setahun lalu itu membeli bekas dakwat mesin pencetak tulen kitar semula sebelum mengisikan dakwat tiruan ke dalam bekas tersebut.

“Selain itu, sindiket turut mengaburi mata pengguna dengan meletakkan pelekat jenama tertentu serta membungkus dakwat tiruan ke dalam bekas seakan-akan sama dengan dakwat tulen.

“Hasil siasatan mendapati sindiket beroperasi di Kampung Kerdas, Sungai Besi, Taman Bukit Teratai, Taman Maluri dan Taman Komersial Pandan Indah,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Simpanan KPDNHEP WPKL di Jalan Segambut di sini hari ini.

Menurut Azeem, siasatan lanjut juga mendapati dakwat mesin pencetak tiruan serta katrij itu dijual dengan harga RM100 hingga RM250 seunit.

Katanya, ada sesetengah pelanggan membeli barangan tiruan kerana harga jauh murah berbanding harga dakwat mesin pencetak tulen.

“Kita sedang mengambil keterangan lima lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 35 tahun dipercayai pemilik serta pekerja premis.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.- UTUSAN ONLINE