Dua projek berkenaan masing-masing terletak di Paloh, Johor dan Hutan Melintang, Perak.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Pertahanan, Mohd. Nasaie Ismail berkata, kedua-dua projek ini dijalankan oleh pihak swasta hasil pertukaran tapak tanah kem tentera di Kinrara, Selangor dan Rasah, Negeri Sembilan.

Ujarnya lagi, terdapat campur tangan politik keterlaluan dan kecuaian urus tadbir dalam pelaksanaan projek-projek berkenaan sekali gus memberi kesan besar kepada hasil kerajaan dan aset pertahanan negara ini.

“Pembinaan kem di Paloh dan Hutan Melintang tidak termasuk dalam perancangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), namun atas arahan telah dikeluarkan dipercayai atas faktor-faktor politik.

“Pada asalnya pihak kementerian merancang membina Kem 1 Briged di Port Dickson sebagai ganti Kem Kinrara dan Rasah secara land swap, namun dibatalkan dan dibina pula di Paloh dan begitu juga di Hutan Melintang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Dakwa Mohd. Nasaie, terdapat bukti arahan politik dan penglibatan secara langsung oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha memindah dan menambah pengundi dan keluarga di kedua-dua kem iatu yang masing-masing terletak di Parlimen Sembrong dan Bagan Datok.

Pada masa sama, Mohd. Nasaie mendakwa terdapat keraguan pembelian kedua-dua secara land swap di bawah nilai semasa iaitu bagi tapak Kem Kinrara dijual sebanyak RM500 juta tetapi penilaian sebenar adalah RM758 juta.

“Begitu juga di pembelian tanah di Kem Paloh, jika mengikut penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), ia berharga RM7.28 juta tetapi naik 43 peratus berbanding nilai semasa sehingga mencecah RM10.47 juta,” katanya.

Menurut beliau lagi, kedua-dua projek itu didakwa telah dimuktamadkan pembinaanya walaupun kontrak antara kerajaan dan syarikat belum dimeterai, malah tidak mendapat kebenaran merancang pihak berkuasa tempatan.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu membuat pendedahan itu ekoran hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.

Semua kerugian dan ketirisan itu membabitkan 16 projek land swap terdiri daripada 2,923 ekar (1,183 hektar) tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion. - UTUSAN ONLINE