Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abdul Halim berkata, rampasan melibatkan 467 kilogram (kg) ketamin dan kokain seberat 3,200 kg itu dipercayai yang terbesar pernah dibuat pihak berkuasa negara ini.

Beliau berkata, dadah jenis ketamin yang diisi di dalam 11 guni itu dirampas dalam serbuan Ops Soda di sebuah kedai di Puncak Alam, Selangor pada pukul 4.30 petang 18 Ogos lalu.

"Seramai empat lelaki warga tempatan dan sembilan warga asing ditahan. Siasatan awal mendapati guni-guni tersebut dibawa masuk dari Pakistan melalui Pelabuhan Klang sebelum dihantar ke premis berkenaan.

"Hasil soal siasat ke atas suspek, satu lagi serbuan dibuat di sebuah premis kedai di Seksyen U5, Shah Alam pada pukul 9.20 malam hari yang sama. Hasil pemeriksaan menemukan beberapa bungkusan mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain di tingkat atas premis.

"Siasatan mendapati bungkusan tersebut dibawa masuk dari Ecuador dan tiba di Pelabuhan Klang sebelum dihantar ke premis itu," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Azimah Abd. Hamid.

Menurut Paddy, kesemua suspek berusia antara 27 hingga 56 tahun telah direman sehingga 30 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, dadah tersebut dipercayai akan diseludup ke negara ketiga dan tidak menolak kemungkinan Malaysia dijadikan transit bagi pengedaran dadah.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyeludupan dadah supaya menghubungi Talian Bebas Tol Kastam, 1-800-88-8855 dan Talian Hotline Polis 012-2087222. - UTUSAN ONLINE