Lelaki berusia 26 tahun yang merupakan dalang kepada sindiket penipuan itu ditahan di sebuah rumah sewa di Petaling Jaya susulan penahanan seorang rakannya yang menjadi orang tengah pada Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd. Majid berkata, suspek telah menipu mangsa yang merupakan pelakon tambahan berusia 50 tahun dengan menjual sebuah kereta terpakai jenis Toyota Vios pada harga RM9,000.

Menurutnya, mangsa telah memasukkan wang deposit RM1,000 ke dalam sebuah akaun, namun pada sebelah petangnya suspek memaklumkan mangsa perlu membayar keseluruhannya jumlah kereta dengan alasan terdapat individu lain yang ingin membeli kenderaan tersebut.

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, ACP Fazlisyam Abd Majid (tengah) bersama pegawain

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor,  ACP Fazlisyam Abd Majid (tengah) bersama pegawainya menunjukan barangan yang di rampas sewaktu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE/ Mohd Shaharani Saibi

“Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat suspek terus menghilangkan diri dan kenderaan yang dijanjikan tidak diserahkan kepada mangsa. Hasil siasatan, kita berjaya menahan seorang rakan suspek pada Khamis lalu dan kemudian dalangnya ditahan keesokan harinya.

“Hasil siasatan, kita meneruskan tangkapan dengan menahan seorang lagi lelaki yang merupakan pemilik akaun berusia 23 tahun. Suspek ini dipercayai menjual akaunnya pada harga RM700 dan terlibat dengan penjualan nombor akaun sejak 2017 selain terlibat dengan judi atas talian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Tambah Fazlisyam, siasatan pihaknya setakat ini mendapati sindiket tersebut juga bertanggungjawab di atas tujuh kes penipuan lain yang melibatkan kerugian RM24,500.

“Laporan polis yang diterima adalah di Perak, Terengganu, Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Mereka ini melakukan penipuan melibatkan penjualan kereta pelbagai jenis seperti Honda, Toyota dan Perodua.

“Kita juga merampas beberapa peralatan seperti komputer riba, telefon bimbit, komputer dan simkad pakai buang. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE